Berapa Perlu Simpan Sebulan? 4 Tabung, 4 Contoh Kiraan

Dana kecemasan, tabung kahwin, Tabung Haji dan tabung anak. Satu formula mudah, empat contoh, dan satu kejutan bila semuanya dicampur.

Diterbitkan Bacaan 6 minit

Ringkasan

Satu formula untuk semua tabung

Simpanan sebulan

(Sasaran − Simpanan sedia ada) ÷ Bilangan bulan

Formula ini sengaja dibuat mudah dan tidak mengira pulangan atau dividen. Kalau tabung anda memberi pulangan, anggap itu bonus yang mempercepatkan sasaran. Di bawah ialah empat contoh untuk seorang yang bergaji RM5,000 sebulan dengan perbelanjaan wajib RM2,500 sebulan.

1. Dana kecemasan

  • Sasaran: 6 bulan × RM2,500 = RM15,000
  • Simpanan sedia ada: RM3,000
  • Tempoh: 24 bulan

(RM15,000 − RM3,000) ÷ 24 = RM500 sebulan

Kalau terasa berat, bina 3 bulan dulu (RM7,500). Jumlahnya jadi RM188 sebulan untuk 24 bulan.

2. Tabung kahwin

  • Sasaran: RM30,000 (purata kos minimum kahwin sekitar RM27,332 menurut KPKM-6, dibundarkan)
  • Simpanan sedia ada: RM0
  • Tempoh: 36 bulan

RM30,000 ÷ 36 = RM833 sebulan

Kalau dikongsi berdua dengan pasangan, sekitar RM417 seorang.

3. Tabung Haji

  • Bayaran haji M40 musim 1447H/2026M: RM23,500
  • Tambah belanja lain (persiapan, pakaian, wang saku): anggaran RM4,500
  • Sasaran: RM28,000, tempoh 10 tahun (120 bulan)

RM28,000 ÷ 120 = RM233 sebulan

Untuk B40, bayaran haji ialah RM15,000. Untuk T20, RM33,300 (kos penuh). Kadar boleh berubah setiap tahun, jadi semak angka terkini dengan Tabung Haji.

4. Tabung pendidikan anak

  • Sasaran: RM50,000 untuk pengajian ijazah (anggaran, ikut bidang dan institusi)
  • Mula bila anak lahir, tempoh 18 tahun (216 bulan)

RM50,000 ÷ 216 = RM231 sebulan

Kalau simpanan itu memberi pulangan purata 4% setahun (bukan jaminan), jumlah bulanan yang diperlukan boleh turun ke sekitar RM158. Itulah 'compounding effect': masa yang panjang buat kerja yang berat.

Kejutannya: bila semua dicampur

Tabung Sebulan
Dana kecemasan (6 bulan, dalam 2 tahun)RM500
Tabung kahwin (3 tahun)RM833
Tabung Haji (10 tahun)RM233
Tabung anak (18 tahun)RM231
JumlahRM1,797

Untuk gaji RM5,000, itu kira-kira 36% gaji, dan ini belum termasuk perlindungan, KWSP atau pelaburan persaraan. Untuk kebanyakan orang, angka ini tak realistik kalau semuanya dibuat serentak.

Tiga cara jadikan angka ini masuk akal

Panjangkan tempoh

Tabung kahwin dalam 4 tahun, bukan 3, turun dari RM833 ke RM625 sebulan. Tempoh adalah tuas paling kuat dalam formula ini.

Ikut giliran, bukan serentak

Bila tabung kahwin selesai, alihkan RM833 itu ke tabung lain. Komitmen bulanan tak bertambah, cuma bertukar tujuan. Baca susunan tabung yang mana dulu.

Mula awal untuk tabung jangka panjang

Tabung anak yang dimula ketika anak berumur 8 tahun (10 tahun lagi) perlukan RM417 sebulan untuk sasaran sama. Mula ketika lahir, cuma RM231.

Nak tahu berapa yang munasabah untuk gaji anda? Cuba Kalkulator Belanjawanku untuk lihat ke mana gaji anda pergi setiap bulan.

Nak Susun Ikut Gaji Anda?

Setiap keluarga lain angkanya. WhatsApp Hana dengan gaji dan tabung yang anda ada sekarang, kita susun sama-sama.

Dr. Takaful Hana

Dr. Hana

PhD Engineering

Menggunakan pendekatan data & analisis risiko untuk membantu keluarga membina struktur kewangan yang tahan lasak. Misi Hana: 0% Harta Beku, 100% Ketenangan.

Penafian: Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan am dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat kewangan peribadi. Angka kos haji dan kos perkahwinan adalah dari sumber awam pada tarikh artikel ini ditulis dan boleh berubah. Sila dapatkan nasihat daripada perancang kewangan bertauliah sebelum membuat sebarang keputusan.